puisi bukan menggurui


Puisi bukan menggurui?

Bertemu kembali dalam blog pada kali ini saya mengajak kalian untuk membahaskan sebuah topik iaitu “puisi bukan menggurui”. Topik ini sememangnya mendapat tempat di hati penulis blog untuk membahaskan dan memberi pendapat tetapi bukan untuk menghakimi.

Hal yang paling menakjubkan dari karya sastera khususnya puisi ialah pengembaraan hening dalam dunia ilusi dan imaginasi yang diciptakan oleh seorang penulis puisi. Indahnya sebuah puisi dimana suatu perjalanan jantung kelengangan, mencapai bilik dan ruang yang belum bernama karena kata tak pernah cukup untuk menjamanya. Kata tak pernah cukup untuk menggambarkannya. Kata tak pernah cukup untuk menjadi hidangan minda. Puisi bukan untuk difahami, tetapi untuk dinikmati.

Setiap bait, susunan ayat, ritma dan intonasi dalam sebuah puisi mempunyai nilai estetika yang berbeza dengan penulisan yang biasa. Di dalam sebuah puisi tersimpan subah pengembaraan yang membuatkan seseoarang dengan semena-mena meniadakan hubungan kata dengan dunia nyata. Dengan puisi orang boleh merasa lebih bebas untuk menggembarakan imaginasi.

Bagaimana pula sekiranya puisi diciptakan dengan berunsurkan menggurui atau penulis tidak sedar bahawa di dalam puisi diselit kata-kata menggurui. Mengikut pemahaman saya perkataan menggurui itu sendiri membawa maksud mengajar dan mengarahkan seseorang. Jika ianya diselitkan dalam puisi maknanya penulis seolah-olah mengajarkan dan mengarahkan pembaca khususnya dalam mengajak pembaca kepada perubahan. Contohnya penggunaan beberapa perkataan arahan seperti “hendaklah, mestilah, haruslah, janganlah, perlulah” . secara jelas dapat kita lihat bahawa pemilihan perkataan sedemikian rupa mempunyai unsur-unsur arahan. Dengan itu saya sertakan contoh rangkap puisi yang berbunyi:
Kayu bakau tidak berdahan,
Mari tumbuh di tepi paya,
Serahkan kerbau kepada Tuhan,
jangan lupa tambatkan dia.

Langit redup ombak mengalun,
Jati tumbuh di dalam taman,
Haruslah hidup seribu tahun,
Mati esok di dalam iman.
                                                    Bukan Lalang ditiup angina, Noordin Hassan.

Rangkap puisi di atas dirujuk daripada sumber Majalah Dewan Sastera/ karya Noordin Hassan. Tidak dapat dinafikan bahawa contoh rangkap puisi di atas terselit perkataan menggurui iaitu ‘jangan dan haruslah’. Secara peribadinya apabila membaca puisi yang mempunyai unsur menggurui menyebabkan hilangnya perasaan ingin menikmati keindahan puisi itu sendiri kerana ia seolah-olah mengarahkan pembaca untuk mengamalkan sesuai apa yang dituliskan dalam puisi. Penulis mengajak pembaca untuk tidak melupakan Tuhan, namun adakah ia sendiri tidak pernah melupakan Tuhan walau hanya sedetik? Yang pastinya semua orang juga tahu untuk mengingat Tuhan namun yang namanya manusia tidak pernah sempurna, walaupun mengingat Tuhan 24 jam sehari tetap saja terjebak dengan diri sendiri untuk melakukan dosa. Sempurnakah kita untuk menyempurnakan orang lain? Tepuk dada tanya selera.

Dengan karya sastera seperti puisi ini seharusnya setiap pembaca yang membaca dan menikmati setiap kata dalam bait-bait puisi membawa pembaca untuk merasa bebas mengembarakan imaginasi. Bagi saya sendiri yang terkandung dalam puisi merupakan sebahagian pengalaman manusia yang merupakan wilayah diam, dengan palung air mata dan tawa yang di dalamnya bagai tanpa dasar. Kerana puisi untuk dinikmati bukan untuk difahami.

Biarkan puisi berbicara dan itulah saat ia dengan perlahan di dalam kesengsaraan melampaui kata, ruang, dan waktu. Mulai mendengar bisik hening, tarikan nafas senyap dan nyanyian diam yang melantun di antara aliran deras kata. Jika dalam puisi itu sendiri terdapat unsur menggurui maka bagaimana mungkin pembaca dapat menikmati puisi, yang ada cuma untuk mencoba untuk memahaminya.

Comments

Popular posts from this blog

'seni untuk seni' atau 'seni untuk masyarakat'?

kritikan buku antologi sajak pendosa